Taburan geografi Bahasa_Aramia

Semasa abad ke-12 SM, orang-orang Aramia yang merupakan penutur asli bahasa Aramia, memulakan penempatan secara besar-besaran di Syria kini, Iraq dan Turki timur.

Ketika bahasa Aramia menjadi lebih penting, bahasa ini ditutur di seluruh kawasan pantai Levant di Mediterranean dan kemudian tersebar ke Tigris di timur. Peneroka-peneroka Yahudi membawa bahasa mereka ke Afrika Utara dan Eropah, manakala mubaligh-mubaligh Kristian membawa bahasa ini ke Parsi, India, dan juga China.

Sejak abad ke-7, bahasa Aramia telah digantikan oleh bahasa Arab sebagai lingua franca Timur Tengah. Bagaimanapun, bahasa Aramia masih merupakan bahasa kesusasteraan dan agama di kalangan orang-orang Yahudi, Mandaean, dan sesetengah orang Kristian. Bahasa Aramia masih ditutur dalam komuniti-komuniti terpencil di seluruh kawasan pengaruh yang asal. Pergolakan-pergolakan pada dua abad yang lalu telah melihatkan penutur-penutur bahasa pertama Aramia berselerak di seluruh dunia.

Bahasa dan loghat Aramia

Bahasa Aramia sebenarnya merupakan sekumpulan bahasa yang berkait, berbanding sebuah bahasa monolit yang tunggal. Sejarah panjang bahasa Aramia, kesusasteraan yang meluas, dan penggunaannya oleh berbagai-bagai komuniti agama merupakan faktor-faktor yang menyebabkan pempelbagaian bahasa ini. Sesetengah loghat Aramia dapat saling difahami, sedangkan yang lain tidak.

Sesetengah bahasa Aramia dikenali dengan nama yang lain; umpamanya, istilah Suryani khususnya digunakan untuk memerihalkan bahasa Aramia Timur yang ditutur oleh komuniti-komuniti Kristian. Kebanyakan loghat boleh diperihalkan sebagai "Timur" atau "Barat", dengan Sungai Furat lebih kurang merupakan garis pemisahan, atau sedikit ke barat.

Bagi membantu pemahaman bahasa-bahasa Aramia, golongan bahasa ini boleh dibahagikan kepada:

  • bahasa-bahasa hidup moden (sering digelarkan Neo-Aramia);
  • bahasa-bahasa yang masih digunakan sebagai bahasa kesusasteraan; dan
  • bahasa-bahasa yang sudah pupus dan hanya menarik minat cendekiawan-cendekiawan.

Walaupun terdapat sebilangan kekecualian dalam pembahagian ini, pengelasan ini memberikan zaman-zaman "Moden", "Pertengahan", dan "Lama", bersama-sama dengan kawasan "Timur" dan "Barat", untuk membezakan antara berbagai-bagai bahasa dan loghat Aramia.